»

Friday, July 23, 2010

Insan yang leka, akhirnya berduka

Lagi 5 minit lecterer umumkan masa akan tamat. Aku masih lagi sedang menjawab soalan nombor dua. Aku hanya menggunakan 20 minit utk menjawab soalan. Masa yang selebihnya aku hanya termenung mengenangkan si arwah. Semua pengalam pahit manis bersama arwah terimbas kembali. Mana kan tidak, dari kecil aku dijaga oleh keluarga arwah. Pagi-pagi lagi sebelum mak pergi kerja, aku dengan air liur basi lagi mak dukung bawak pergi rumah arwah. Aku akan sambung tidur dalam sangkar katil warna biru. Apabila tengah hari, arwah akan pulang dari kerja untuk makan tengah hari dan mengambil abang Izat, anak bongsunya dari sekolah. Apabila kedengaran bunyi motor kapcai arwah, aku akan berlari keluar dari sangkar untuk menyambut kepulangan arwah. Aku sangat kecil masa itu sehinggakan arwah menggelarku si kenit. Tinggiku hanya separas dengan pinggang arwah. Aku akan peluk arwah dan meletakkan telingaku di perut arwah yang buncit. Aduh, sedihnya, rasa macam nak tulis sume ni kat kertas jawapan.

Hanya tinggal lagi satu minit masa akan tamat, aku masih memegang pen untuk menjawab soalan kedua. Aku tahu aku telah buat persediaan awal untuk peperiksaan ni. Tapi bayangan arwah masih aku teringat. Aku sangat kecil dan ringan. Arwah akan menyuruh aku untuk pijak di atas badan belakangnya. Aku seronok berdiri berjoget di atas punggung arwah. Waktu petang, arwah selalu memetikkan aku buah jambu air di luar rumahnya menggunakan galah. Galah tu sangat tinggi dan berat untuk aku mengangkatnya. Di depan rumahnya ada pokok mangga epal. Buah mangga yang gugur jatuh kat dlm longkang akan dikutip oleh arwah dan berikan padaku. Aku yang si kecil duduk di bangku kayu di bawah pokok itu.

Masa sudah tamat, aku terus menutup buku jawapan dan akta perkahwinan yang tidak banyak aku merujuk. Aku menoleh kiri kanan dan mereka yang lain masih menulis dan buku jawapan mereka semuanya penuh tetapi aku hanya mengguna tiga muka surat. Aku orang paling lewat masuk dewan dan paling awal keluar. Dari jauh Kay melambai ke padaku tapi aku tidak mempunyai masa untuk menunggu sebab aku ingin terus bertolak takut tidak sempat hadir pengebumian arwah. Aku membawa Acap bersamaku. Aku sangat lemah untuk memandu. Sepanjang perjalanan aku hanya terkenangkan si arwah.

Hari semakin gelap. Kami tiba di Ampang pada waktu Mahgrib. Aku terima panggilan daripada kakak ku yang sulung. "Amin kat mana? Jenazah dah bawak gi masjid" tanya kak Yana. Aku masih lagi dalam perjalanan. Kami adik beradik semua belajar mengaji dengan arwah. Aku masih ingat lagi t-shirt putih yang nipis dipakai oleh arwah, ketayap putih, kain pelekat dan rotan yang dipegang oleh arwah semasa mengajar kami mengaji. Tiap-tiap malam aku mengaji dengan arwah. Kalau malam jumaat arwah akan bercerita tentang agama. Tentang kejadian di alam Barzakh dan Hari Kiamat. Air mataku tidak berhenti megalir mengenangkan arwah. Semasa arwah sihat, aku tidak menjenguk arwah. Kali terakhir berjumpe pun aku tak ingat. Tapi arwah dah tak ada. Ini lah peluang aku untuk melihat muka arwah untuk kali terakhir.

Tiba di keramat, kak Yana memberitahu jenazah sudah dibawa ke tanah perkuburan. Aku tidak pasti jalan untuk ke tanah perkuburan. Kami banyak menghabiskan masa mencari tempat pengebumian. Dalam perjalanan, kami terserempak dengan kereta Ayah dan Mak yang sedang dalam perjalanan. Ayah memandu kereta cheverolet, membawa kami dari depan. Sampai di tanah perkuburan, van jenazah kelihatan macam baru sampai. Lega rasa hati bila ingat pengebumian belum bermula.

Aku terus bejalan dengan laju ke arah pengebumian. Aku melihat kemah putih dan bercahayakan lampu dan dekelilingi ramai. Aku melihat tanah sudah ditimbus kemas. Air mata ku mengalir tidak berhenti. Jenazah arwah sudah berada di bawah muka bumi. Aku ternamapak abang Izat dan Along sedang menimbuskan tanah dengan tabah. Kak Teh sedang duduk dan memandang ke arah kubur. Aku lihat Ummi dari jauh dan terus belari ke arah Ummi dan memeluknya. Air mata ku tidak berhenti mengalir. Sepanjang upacara aku merenung ke arah kubur dan tidak berhenti menangis. Aku melihat abang Ayie melaluinya dengan tabah. Semut berlari-lari masuk ke dalam tanah.

Setelah tamat pengebumian. Aku mencium tangan Ummi dan memeluknya sekuat hati. Abang Izat juga begitu. Mereka mengucapkan terima kasih dan berpesan untuk mengulang kaji pelajaran bagi masa depan. Aku bersalaman dengan Along dan abang Ayie. Dapat melihat keberatan mereka melalui kepergian arwah. Ayie masih lagi duduk di sebelah kubur arwah. Semua beransur ke arah kereta dan air mata ku masih lagi mengalir. Apa yang buat aku terasa kerana tidak dapat melihat muka arwah buat kali terakhir.


Al-fatihah buat Abah Razak, semoga rohnya dicucuri rahmat. Amin

Takziah buat abang Izat sekeluarga .

0 Ciuman: